Segalanya Bermula
Semalam saya menghadiri satu talk yang dianjurkan oleh Teach For Malaysia dan saya telah belajar sesuatu yang agak mengejutkan tentang pendidikan di peringkat sekolah rendah. Saya adalah seorang bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam namun saya tidak tahu perkara ini sewaktu saya bekerja. Sudah berhenti kerja baru tahu.
Sewaktu perbualan saya bersama salah seorang guru TFM ini, saya mendapati bahawa di kawasan pedalaman tak kira di semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak, cabaran utama adalah kehadiran pelajar. Ini kerana mereka ini datang dari keluarga susah dan terpaksa bekerja membantu ayah dan ibu diwaktu siang untuk mencari makanan untuk kelangsungan hidup. Jadi bagaimana cikgu nak suruh mereka datang ke sekolah untuk belajar? Nak marah pun tak sampai hati bukan? Bila ditanya, pelajar akan cakap, “saya teman mak saya memancing ikan, kalau tak teman nanti mak saya sorang-sorang”. Kalau di bandar, mesti kita ingat ini alasan sahaja untuk ponteng. Namun inilah realiti sebenar di kawasan pedalaman. Dan kisah ini berlaku di semenanjung.
Oleh itu, kita perlu faham bahawa bukan semua orang dilahirkan senang. Jika kita susah, maka ada lagi orang lagi susah dari kita. Ini menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menjadikan syarah.my sebagai platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk belajar pelbagai skill dengan yuran yang tidak membebankan.
Jika anda seorang guru, tahniah saya ucapkan dan saya doakan anda tabah dan tidak pernah jemu berbakti untuk generasi seterusnya.
Ilmu pelita hidup.
Dr. Hasbullah
Ph.D, Imperial College London
Pengasas, syarah.my
21 Julai 2026 - KLCC